Friday, November 19, 2010

Snake & Ladder

Santai dengan 2 Zaid

Assalamualaikum wrht. Hari ni terasa nak share gambar-gambar yang sempat dirakamkan semasa kelas Geo dengan 2 Zaid. Sebenarnya Cg. diminta oleh Cg. Geografi 2 Zaid untuk membimbing mereka membuat folio Geo. Jadi, apabila semua dah hantar kec seorang, Cg.pun bawaklaa permainan yang Cg dah buat untuk 2 Ali,2Bilal,2 Asma dan 2 Maryam tetapi kali ni tanpa kuiz BM lah..hehe..Pertandingan bermula dengan kumpulan-kumpulan yang tidak teratur..tak pa lah.

Amik gambar jap sebelum mula main...
Agak sengit laa jugak masa main ni...
paling BEST bila ada yang kena turun bawah...hehe

Ubeid...x putus asa walaupun dah jatuh ke bwh beberapa kali...

Ni pulak group yang tak main..ada agenda mesyuarat tersendiri...
Nukman dan Mukhlis...ni lepas kalah laa ni..hehe
masih berjuang...
Fokus...fokus...
gelagat yang akan cg ingat...
Emmm...begitulah sedikit sebanyak gambar yang di ambil pada hari ini. Hari ni hari kedua terakhir Cg bersama 2 Zaid. Kelas mereka ni ada 26 orang tapi Cg. tak sempat kenal semua. Nama mereka Cg. cam laa juga tapi tidak begitu kenal dengan mendalam kerana Cg. hanya masuk sejam seminggu dan tidak sempat untuk buat banyak aktiviti bersama mereka. Maklumlah buat folio kan? dan ada plak yang zzzzzzzzzzzzz time Cg masuk..so cane nak taaruf lebih kan? 

Cg ambil kesempatan nak minta maaf kat 2 Zaid andai ada salah silap Cg dengan kamu sepanjang Cg. bersama kamu dalam membimbing Kerja Folio Geografi. Cg mendoakan agar kamu dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk PMR dan seterusnya demi mengenggam sebuah kejayaan yang manis untuk diri kamu dan keluarga kamu. Kita semua Allah kurniakan akal, kecerdikan, kepandaian yang sama  dan yang membezakan kita hanyalah KEMAHUAN dan USAHA. Ingat pesan cikgu ya.


Monday, November 8, 2010

Inilah dia pelajarku ( Iqbal dan Sadiid )

8 November 2010
Isnin

Ehem..ehem...eh, dah jam 12.46..emm..xpelah..kira 8hb jugak.. Nak sambung tentang pelajar Cg yang seterusnya. Kali ni dah tak ingat ranking sapa yang Cg. kenal dulu sbb lepas masuk kelas ke-2,ke-3 dan seterusnya Cg. makin mengenali ramai pelajar dan kini Cg. dah kenal semuanya. Maka, hari ni Cg terasa nak berkongsi dengan kalian tentang seorang pelajar yang agak laa Cg. kagum dengan budi pekertinya. Depan Cg.  di dalam kelas laa..belakang Cg. lain kira sbb Cg. tak tahu. Pelajar ini namanya Mohd Iqbal b. Bustami. Owch...baru Cg. teringat macam mana Cg. boleh ingat pelajar ini. Suatu hari, dalam kelas ke berapa tak ingat, Cg. melihat seorang pelajar ni agak diam dan pasif, Cg. ingin memanggil namanya. " Siapa nama pelajar tu?" Cg. menyoal kelas. " Bustami" jawab beberapa pelajar. Mohd.Hafiz tentunya yang paling kuat memberitahu Cg. Lalu Cg. pun menyeru nama tersebut lalu pecahlah ketawa besar berdekah-dekah daripada ahli kelas tersebut. Lalu Cg. tahu itu bukan namanya. Beberapa kali Cg. tanya pada pelajar di hadapan, barulah mereka memberitahu namanya ialah Iqbal. Aduh. Begitulah senario dalam kelas Cg.  Kegemaran memanggil menggunakan nama ayah SANGAT tidak menyenangkan telinga dan hati Cg. Dimana mereka belajar perkara-perkara tidak beradab sebegitu? Emm,..mulai hari itu Cg. mengenali susuk seorang Iqbal. Dia pelajar yang agak diam dan tidak banyak respon di dalam kelas. Iqbal merupakan antara geng yang duduk sebaris dengan Mohd Hafiz and the geng namun sikapnya berbeza dengan mereka. 

Cg. perasan tentang hal ini bermula daripada PLBS. Cg mendapati Iqbal melakukan dengan bersungguh-sungguh Ujian Lisan itu walaupun rakan-rakan sekumpulan sering bermain-main sahaja. Kemudian, Cg melihat komitmen Iqbal dalam menyiapkan tugasan yang Cg. berikan kepada kelas. Di situ Cg. membina suatu persepsi baru tentang Iqbal. Seorang pelajar yang gigih berusaha walaupun sering mendapat markah yang rendah pada latihan-latihan yang dibuatnya. Itulah yang membuatkan Cg. sangat menghormati Iqbal sebagai seorang pelajar dalam kelas 2 Bilal. Selain itu, Cg. juga telah melantik Iqbal menjadi pengerusi untuk Pertandingan Drama kelas 2 Bilal. Alhamdulillah, Iqbal dapat melakukan yang terbaik. Suatu perkara yang menarik perhatian Cg. ttg Iqbal ialah walaupun dia sering diejek, dimalukan, dilontarkan dengan pelbagai kata-kata, dia hanya diam dan senyum. Sedikit pun tidak menunjukkan reaksi negatfi walaupun Cg tahu dalam hati dia sudah pasti terguris dengan kata-kata rakan-rakanya itu. Iqbal tetap rajin berusaha, tetap siapkan kerja, tetap komited dalam belajar walaupun berada dalam suasana yang tidak kondusif beserta sikap rakan-rakan yang lain. Itu memang suatu perkara yang patut Cg. puji. Cg. berharap agar Iqbal dapat meneruskan sikap yang positif ini sehingga besar kelak kerana sikap sebegini perlu apabila kita berhadapan dengan suasana yang dipenuhi dengan anasir jahiliyyah. Semoga Iqbal berjaya dalam hidup.

Seterusnya, pelajar ini mirip Iqbal daripada segi kerajinannya. Pelajar ini Cg. kenal kerana kedudukanya berhampiran dengan rak belakang dan rajin bertanya. Cg. perasan akan dirinya sejak bermulanya tugasan PLBS dan Pak Cik Kadir pernah bertanya tentang dia. Lepas tu, Cg. terus kenal Sadiid dan memerhatikan tingkahnya di dalam kelas. Syed Ahmad Sadiid. Begitulah namanya. Masih Cg. ingat semasa Cg. mengutip buku karangan kelas 2 Bilal, ramai sangat yang tak siap 4 karangan lalu Cg. melangkah menuju ke arah Sadiid dan meminta bukunya. Sadiid dah siap semua karangan yang diberikan oleh Cg. Nadhirah dan Cg. menjadikan bukunya sebagai rujukan kerja rumah terdahulu yang Cg.Nadhirah bg pada pelajar. 

Di situ jelas menunjukkan Sadiid tidak sekadar bermain-main tetapi menyiapkan kerja rumahnya.Satu
perkembangan yang baik bg Cg. Ada kala Sadiid kelihatan tiada mood dan wajahnya mencuka di dalam kelas. Ada waktu dia ceria dan bertanya pelbagai jenis soalan kepada Cg. Cg ingat lagi masa sessi bermain bola sambil belajar Kata Kerja di dataran aspura, Cg. melihat Sadiid macam berangan. Cikgu kata kat dia " Sadiid, cuba fokus sket, Cg. tengok Sadiid slalu berangan".. Cg. silap menggunakan kata-kata 'selalu' di situ. Sadiid membalas," Bila saya selalu berangan Cg?"... Cg. hanya senyum di dalam hati. Mungkin pada sessi pembelajaran itu, Sadiid sedang sibuk memikirkan hal lain dan nampak tak fokus. Di dalam kelas, Sadiid sentiasa menyiapkan kerjanya, buat latihan dan bertanya jika tidak tahu. Itu adalah sikap yang bagus. Cg. mendoakan agar Sadiid terus bersikap begini malah mempertingkatkan lagi potensi yang ada dalam diri Sadiid untuk berjaya dalam pelajaran, sahsiah dan kehidupan. 

Potensi itu bersinar dalam diri Sadiid dan Iqbal. Moga Allah kasih pada kalian. Moga Allah sentiasa memperkuatkan kalian. Moga Allah memberikan semangat untuk kalian terus berusaha menongkah arus demi mencapai cita-cita. Ameen Ya Allah.

Sunday, November 7, 2010

Inilah dia pelajarku ( Mohd Hafiz )

Pelajar seterusnya..

Kali ni tibalah giliran Cg. menyingkap cerita pelajar 2 Bilal. Kelas pertama yang Cg. masuk antara semua kelas ialah 2 Bilal kerana jadualnya jatuh pada hari Isnin jam 7.40-8.40 pagi. Melangkah ke kelas ini dengan keazaman yang tinggi menyebabkan Cg tidak terasa penat melayan karenah pelajar seawal mengenali mereka. Mungkin kerana pertama kali melihat Cg. baru, 2 Bilal kurang kerenahnya seperti sekarang. Namun, ada seorang pelajar yang telah menonjolkan dirinya untuk dikenali oleh cikgu dan nama itu melekat dalam ingatan Cg. sehingga hari ini. Dirinya mahu disebut dengan nama penuh oleh Cikgu. Mohd Hafiz. Begitulah panggilan Cg. pada hari pertama dan seterusnya. Ada sahaja yang dibuatnya yang menyebabkan Cg. menyeru,.." Mohd Hafiz !!!".

Di sebelah inilah dia insan yang sedang Cg. bicarakan Merupakan anak kedua kepada seorang guru yang Cg. sememangnya kenal menyebabkan Cg. merasa Hafiz ini punya potensinya yang tersendiri. Namun, seperti biasa Cg. berhadapan dengan suatu karakter yang lain pula ceritanya. Mohd Hafiz sememangnya sukar diduga. Manis senyum yang terukir di wajahnya kadang-kadang tak menggambarkan apa yang ada dalam hatinya. Kegagalannya dalam menyiapkan kerja rumah yang diberikan menyebabkan Cg. sedikit bimbang dengan prestasinya di dalam kelas. Seringkali Cg. meminta bukunya, jarang yang Cg. dapat tanda kerja-kerja itu. Sedih. Itu adalah ungkapan yang wajar Cg. gunakan di sini kerana pada Cg, Cg. telah gagal dalam menarik hati seorang Mohd Hafiz untuk fokus dalam matapelajaran BM. Mohd Hafiz seorang pelajar yang nakal namun daripada segi kata-kata yang dikeluarkan daripada mulutnya sahaja. Dia jarang sekali bergerak daripada tempat duduknya. 

Kelas tanpa Mohd Hafiz kadang-kadang boleh jadi hambar kerana Mohd Hafiz sangat gemar mengusik rakan-rakan sekelasnya. " Err../aii...." ntah bunyi macam mana tidak pula pandai Cg gambarkan disini tetapi itulah yang Cg nak beritahu bahawa Mohd Hafiz punya trade mark bunyi yang tersendiri. Bunyi itu sering dikeluarkan tidak mengira waktu dan tempat. Bunyi itulah yang sering menggamatkan kelas. Bunyi yang sahut menyahut itu kadang-kadang mengundang rasa geli hati dan kadang-kadang mengumpan rasa sakit hati. Aduhai Mohd Hafiz.

Masih Cg ingat bagaimana Mohd Hafiz menjalani PLBSnya. Tatkala rakan-rakan sekumpulan bersedia dan bersemangat, Mohd Hafiz dengan tidak tight innya, tidak memakai cekak tangan, rambut berserabai dan sengih mcm kerang busuk menjadi pengerusi forum. Pendek kata Mohd Hafiz tidak serius dalam melakukan sesuatu pekerjaan sedangkan jika Mohd Hafiz memberi tumpuan, dia mampu melakukanya dengan baik. Tidak makan saman. Itu juga adalah karakternya. Ada sekali Cg. memberitahu pelajar bahawa sesiapa yang tidak menyiapkan kerja rumah akan disuruh berlari di padang. Tau tak apa kata Mohd Hafiz?
" Ye..ye..x payah buat kerja..nak lari padang..syoknya!"..Emm...itulah sebaris ayat yang segar dalam ingatan Cg juga baris senyuman meleretnya saat melafazkan kalimah itu. Dalam hati Cg. membalas ' Berlagak nak lari, tp bila suruh lari, malu2..jalan pelan2 mcm siput"..hihi (^_^). Selepas itu Cg malas melayan kata-kata Mohd Hafiz yang tidak makan saman ini melainkan bila dia berbicara soal lain.

Aduhai Mohd Hafiz. Dia abang kepada deretan adik-adik yang panjang. Di luar kelas, dia kelihatan kemas, penampilan menarik, tampak bertanggungjawab dan sebagainya. Entah mengapa dia begitu selekeh di dalam kelas? Cg. sangat teringin bertanyakan soalan itu kepada Mohd Hafiz namun tidak berkesempatan. Kenangan yang terakhir Cg bersama Mohd Hafiz ialah Cg. telah merampas liquid paper miliknya ketika menjaga kelas 2 Bilal untuk subjek Kemahiran Hidup. Tidak reti duduk diam Mohd Hafiz.ditambah dengan orang sebelahnya iaitu Aleem. Benar-benar menguji. Ya Allah, engkau tahu apa yang ada di dalam hati pelajarku Mohd Hafiz ini,lalu berikanlah kekuatan kepadanya untuk fokus dalam pelajaran dan rajin belajar keranaMu. Bimbinglah pelajar yang kukasihi ini dengan rahmat dan inayahMu.."

Mohd Hafiz, Cg. tidak pernah lupa mendoakan pelajar Cg. lewat doa-doa Cg. dalam kehidupan seharian. Harap kamu membesar menjadi insan kamil yang dapat membahagiakan kedua ibu bapa, sekolah, agama, bangsa dan negara. Ameen!

Inilah dia pelajarku ( Rizuan dan Umar )

7 November 2010
Ahad

Hari ni Cg. akan berkongsi dengan pelajar kedua yang Cg. kenal..Kekecohan dan kepetahan mulutnya jugalah yang menyebabkan Cg. mengenali Rizuan di kelas pertama Cg. Masih Cg. ingat masa Cg. tengah mengajar, Rizuan bermain dengan bekas yang mengandungi beluncas. Masa tu tempat duduk Rizuan di belakang sekali. Bila Cg minta bekas tu dia main tarik tali. Dia takut Cg. rampas beluncasnya itu. emm..antara yang Cg. ingat juga, masa isi borang ta'aruf pelajar, pada ruangan anda akan bermotivasi untuk belajar apabila ........ Rizuan menulis jika Cg.bg makan sebelum kelas..(^_^). Tersenyum Cg. bila baca kenyataan Rizuan yang jujur itu. Rizuan ni juga mood nya berubah-ubah. Kebiasaanya kelas hari Isnin dia slalu xda mood sbb mengantuk. Kalau kelas hari Rabu, sbb pagi dia aktif sedikit. Mulutnya kadang-kadang bising mengeluarkan hujah, hadith, ayat al-Quran dsb. Kalau dia berganding dengan Mirul, bertambahlah kekecohan yang melanda 2 Ali. Rizuan ni asasnya baik sebagai seorang pelajar, cuma darjah kenakalanya melebihi rakan sekelas yang lain. Kalau dipaksa menulis karangan atau membuat latihan, akan dibuatnya tp kadang-kadang bila Cg. terlepas pandang, dia pun akan pandang pada benda lain. Seperti Mirul, Cg. juga ada rasa untuk mengenali Rizuan dengan lebih dekat, namun tidak berkesempatan. Masa yang dihabiskan untuk bercakap denganya dipenuhi dengan gurauan atau berhujah mempersoalkan tindakan guru terhadapnya. 

Rizuan Oh Rizuan. Cg. pasti di dalam hatinya pasti terselit impian untuk berjaya seperti insan lain. Rizuan juga mahu membalas jasa ibu bapanya dengan membuktikan kebolehannya dalam akademik dan sahsiah. Mungkin masanya belum tiba untuk Rizuan mempamerkan kebolehanya dalam pelajaran. Lupa Cg. nak cerita, Rizuan juga, selain membela beluncas, turut pernah membela burung di dalam bekas sangkarnya itu. Namun, sayang kerana semuanya mati. Sedih. Rizuan tidak pernah serik. Prestasi Rizuan pada Peperiksaan Akhir tahun agak memberansangkan,alhamdulillah. Cg. sentiasa mendoakan pelajar Cg. yang seorang ini. Cg. sentiasa berharap agar Rizuan bin Laleh Madiyoh ini akan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Ha...skrang Cg. nak bercerita tentang insan ketiga yang Cg. kenal dalam kelas 2 Ali. Hah..kat sebelah ni la pelajar yang Cg. maksudkan. Nama budak kecik ni ialah Umar b. Adam. Saiznya sangat lah kecil kalau nak dibandingkan dengan Mirul. Sebab tulaa agaknya Mirul slalu buli si Umar ni..hehe. Kenapa agaknya dia dalam ranking yang tinggi Cg. kenal dia? Umar ni walaupun tidak semeriah Mirul dan Rizuan, tapi kaki dan tangan dia tidak kenal erti diam. Dia juga kekadang memiliki kebolehan 'buat tak tahu' dgn apa yang Cg. suruh. Masih Cg ingat hari pertama Cg masuk kelas 2 Ali, Cg. nampak kelibat sorang pelajar ni berjalan kesana kemari. Pandang kanan, nampak dia di situ..pandang kiri, aik? budak ni ada di sini pula? dan dia bukan duduk atas kerusi tapi berjalan. Cg. panggil dia suruh duduk tempat, dia datang depan dan tunjuk kerusi dia yang berlubang. Cg. suruh dia ambil kerusi lain. Dia berjalan ke belakang. Tidak juga duduk. Lalu Cg. panggil dia dan minta dia berdiri di hadapan, tepi pintu kelas. " Umar, Cg. tak mau tgk kasut Umar ni bergerak ke mana-mana pun". Kata Cg. 
Subhanallah. Pelajar memang pandai dalam menguji kesabaran guru. Nak tahu tak ape Umar buat? Dia telah mengeluarkan kakinya daripada kasut, meninggalkan kasut di pintu dan berjalan semula. Bila Cg. marah dia kata " Kasut tu masih kat situ Cg"..Adoi. Kelas hingar bingar ketika itu. Memang Cg.takkan lupakan peristiwa antara Cg. dan Umar ini.

Umar Adam ni lahir dalam keluarga yang bijak pandai. Tentu dia juga mendapat genetik yang sama. Pandai!. Namun, kepandaian itu sering tenggelam dalam karakter Umar yang lain daripada yang lain. Sukar juga membaca hati pelajar yang seorang ini. Umar sebenarnya seorang pelajar yang berpotensi besar dalam akademik jika dia berusaha sebaik mungkin. Insya Allah, Umar akan bertambah matang dari semasa ke semasa. Cikgu sentiasa doakan untuk Umar b. Adam.

Saturday, November 6, 2010

Inilah dia pelajarku ( Amirul )

6 November 2010 
Sabtu


Assalamualaikum wrht.


Hari ini Cg. akan menulis sesuatu yang dapat mengingatkan Cg. dengan para pelajar supaya suatu hari nanti,pada masa hadapan, Cg. dapat melihat kebelakang dan mengimbas kembali karakter -karakter  yang pernah Cg. hadapi di dalam kelas  semasa sessi P&P di Matri.Insya Allah, Cg. akan mula dengan pelajar pertama yang Cg. kenal seawal Cg. melangkah masuk ke kelas kamu semasa mengikut Cg. Nadhirah. Tahu tak siapa? Pelajar 2 Ali pasti boleh teka. Sebaris namanya kekal dalam ingatan Cg. mendahului senarai panjang nama pelajar lain. 

Hah..inilah dia pelajar yang Cg. maksudkan. Kenal kan? Pelajar ini namanya Amirul Hafiz b. Mahzan. Orangnya tinggi lampai melebihi usianya yang baru mencecah 14 tahun. Subhanallah, masa kelas Cg.Nadhirah, mulutnya tak ubah bagai bertih jagung. Sebab tulaa Cg. dapat kenal Mirul lebih awal daripada pelajar lain.

"Amirul Hafiz !!!" Cg. masih ingat bagaimana setiap kali kelas terpaksa menyeru nama mirul kerana ke'aktifan'nya di dalam kelas. Namun, ada hari-hari yang berlalu tanpa mirul berikutan samada dia tidur atau dia tak hadir ke kelas. Inilah suatu karakter yang agak menggerunkan Cg kerana cakapnya tidak berlapik, tingkahnya sukar ditelah dan suaranya gegak gempita kerana suka menjerit. Amirul memang kerap kali mencuri perhatian orang lain dengan tingkahnya. Masih Cg. ingat pada hari pertama Cg. buat kuiz dengan 2 Ali, oleh sebab mirul sangat bising, Cg. meminta mirul membantu Cg. menulis  markah di papan hitam dengan tujuan memberi tanggungjawab kepadanya akan mendiamkan mulutnya. Memang benar. Mulutnya terkunci seketika, tapi apa yang mengejutkan Cg. ialah dia telah memadam markah dan menukar markah kumpulanya berganda..semua markah itu bercelaru..kalau diingatkan kembali rasa nak ketawa tapi semasa berhadapan dengan situasi itu Cg. agak terkejut dengan keberanian mirul bertindak sedemikian. 

Hari itu mirul telah meninggalkan kesan yang mendalam pada hati Cg. Cg. membina suatu anggapan baru terhadap amirul. Amirul lain daripada yang lain. Tak tahu nak kata Mirul ni mai dari stok mana tp yang Cg.tahu mirul ni satu dalam seribu. Dia slalu kata Cg. tak ambil berat ttg dia tp dia tak tau, setiap hari keluar daripada kelas dia, Cg.slalu fikir tentang dia. Cg. risaukan tentang dia. Cg. selalu tertanya-tanya apa yang ada dalam hati seorang Amirul. Bagaimana dia berfikir. Apakah faktor yang mendorong Mirul berkelakuan sedemikian di dalam dan di luar kelas? Apakah persepsi Mirul terhadap rakan-rakan, guru-guru dan sekolah. Macam mana Cg. nak tolong Mirul. Apa yg Cg. boleh buat untuk pastikan Mirul turut sama mendapat input seperti rakan-rakan yang lain.? Semua persoalan itu bermain dalam fikiran dan hati Cg. 

Mirul ni seorang yang pandai, cuma tak rajin berusaha. Banyak lagi benda lain yang menarik hati Mirul selain daripada belajar. Tapi kalau dia fokus,dia boleh buat je kerja-kerja yang Cg.bagi dan juga Cikgu2 lain. Memang kadang-kadang Cg. terasa bagai seorang pahlawan yang tewas dengan kerenah Amirul, tetapi Cg. sentiasa memujuk hati dengan berfikiran positif bahawa Amirul akan membesar menjadi seorang pelajar Muslim yang berjaya. Mirul akan berubah. Mirul akan faham suatu hari nanti hakikat menjadi seorang individu Muslim. Doa Cg. sentiasa mengiringi perjalanan Amirul Hafiz. Begitulah sedikit sebanyak karakter Amirul yang ada dalam lipatan hati Cg.

Thursday, October 28, 2010

Cerita Peperiksaan Akhir Tahun...


28 Oktober 2010
Khamis.

Hari ini merupakan hari pertama para pelajar Tingkatan 1 dan 2 menduduki peperiksaan akhir tahun bagi sessi pembelajaran 2010. Hariku bermula penuh kalut dek kelas puteri yang belum tersusun mejanya. Bukan sekadar itu, meja tak cukup pula. Ke hulu ke hilir aku bertanya kepada guru-guru dan pelbagai cadangan dan arahan dikeluarkan dan akhirnya setelah puteri-puteri itu berarak ke sana ke mari, mereka semua selamat menjawab periksa di dalam dewan tempat form 4 exam. Syukur satu perkara sudah selesai.

Aku melihat jam. Pelajar sedang menjawab soalan BM kertas 1. Doaku agar Allah permudahkan mereka.Tidak lama kemudian kedengaran suara Ust Yazib mencariku. Ada masalah pada soalan 20 katanya. Jantung berdetak kencang khuatir ada kesilapan besar pada soalan itu. Aku menyelak kertas soalan dan mendapati terdapat perkataan yang seharusnya bergaris tidak bergaris pula. Lantas aku bergegas bergerak menuju ke kelas 2 Ali, 2 Bilal, 2 Zaid, 2 Asma dan 2 Maryam. Dari jauh dapatku lihat dahi pelajarku berkerut-kerut, dan sebaik sahaja terpandang wajahku, bibir mereka mula mengukir kata " susah laa cikgu"..
Di kelas 2 Ali paling kuat kedengaran perkataan susah itu. Penyumbang utama suaranya tentulah daripada AH. Reaksi yang sama kuperolehi daripada 2 Bilal dan 2 Zaid.

Kemudian aku bergerak ke bangunan akademik, sebaik sahaja pelajar puteri memandangku, beberapa orang turut menyampaikan rasa 'susah'nya mereka menjawab soalan BM itu kepadaku.

'Alamak, susah sangat ke?' aku menyoal diriku. Aku pulang ke bilik guru dan menyemak semula soalan2 itu. Serasaku sebahagian besar daripada teknikal tatabahasa yang ada dalam soalan itu sudah dibincangkan di dalam kelas. Cuma, bagi soalan yang memerlukan kepada pengetahuan perbendaharaan kata yang luas, itu tergantung kepada pengetahuan pelajar itu sendiri.

Menyesalkah aku membina soalan yang sukar untuk pelajar?

Sudah tentu tidak. Aku cuma berasa sedikit risau jika mereka benar-benar tidak dapat menjawab dengan baik soalan-soalan itu. Doa tetap kuhulur tidak putus-putus. Selesai kertas 1, pelajar mula menyerbu dan bertanya pelbagai soalan. Aku sudah tidak sabar-sabar untuk melihat prestasi mereka. Ini adalah kali pertama aku mengajar BM dan hasilnya itu bakal dilihat menerusi pencapaian mereka. Lantas ku tanda 3 kelas mengikut masa yang ada.

Hati terasa panas. Sedih? Bukan. Kecewa? Tidak. Gembira? Tentu sahaja bukan. Entah, apa yang membuatkan hatiku bagai diramas adalah kerana melihat angka yang dicapai oleh pelajarku tidak setinggi yang mereka harapkan. (sudah tentu) terutama bagi yang sudah berusaha sedaya mungkin, membuat latihan, bertanya tanpa jemu dan sebagainya. Perkara ini tersenarai sebagai suatu daripada penyusunan Allah. Aku yakin.

Sekali lagi aku menyoal diriku. ' Menyesal ke buat soalan yg pelajar rasa sukar?'
Sekali lagu aku menjawab ' Tidak'. Padaku biar pelajar tidak mendapat markah setinggi langit sekarang, biar mereka membiasakan diri mereka dengan soalan sukar supaya mereka dapat mencapai markah yang tinggi dalam PMR nanti. Itulah harapanku. Aku ingin meletakkan standart yang tinggi kepada mereka. Aku tidak mahu mereka merasa bangga dengan mendapat markah tinggi hasil daripada soalan yang mereka sudah pun jawab dalam buku atau dapat markah tinggi kerana soalan bocor atau mendapat markah tinggi kerana mereka menghafal jawapan daripada soalan lepas /buku. Aku mahu mengubah senario itu. Aku benar-benar ingin menguji kemampuan mereka, kebolehan berbahasa mereka, keupayaan mereka dalam BM supaya mereka gemilang di kemudian hari dengan standart yang tinggi. Itu impianku.

Impian yang kuayam sendiri di dalam hati. Tidak kuhebahkan kepada mereka cita-cita itu. Mereka tentu merasakan aku 'kejam' kerana memberi soalan yang sukar kepada mereka. Tidak mengapa kerana apabila tiba waktunya mereka akan faham mengapa aku bertindak sedemikian. Ketika mereka mula faham nanti, aku mungkin sudah tiada di bumi wakafan Matri. Namun, biarlah aku meninggalkan memori pahit buat mereka yang tidak dapat skor kertas BM 1. Kenangan pahit itu selalunya bertukar indah bila statusnya bertukar menjadi memori. Peristiwa pahit selalunya menjadi suatu yang indah untuk dikenang. Kenanglah Cg. dalam sukarnya kalian menjawab soalan peperiksaan !

'Kesian depa'. Agenda yang terselit di hatiku tidak menepis rasa kasihanku kepada mereka yang memperoleh markah sedikit. Kurang daripada 25/40. Tak mengapa. Aku akan cuba bersifat semurah hati mungkin semasa menanda kertas BM 2 nanti. ' Ah, tak sabar pula nak ke sekolah esok dan melihat karangan mereka'..
Entah mengapa aku sangat suka membaca tulisan mereka, karangan mereka, bait-bait tulisan mereka dan mainan bahasa mereka. Entah bagaimana, apa yang terlakar di kertas putih bergaris hitam itu sangat menarik hatiku. Aku boleh duduk diam tanpa jemu membaca apa yang mereka tuliskan. Aku berdoa esok Allah akan membantuku dalam memberi markah kepada mereka sebaiknya. Insya Allah.

Pelajarku, usah dirisau akan hal yang sudah berlalu kerana kita tidak akan dapat mengulang kembali perkara yang sudah terjadi. Markah sedikit bukan ukuran kepandaian seseorang kerana usaha dan kesungguhan kamu yang Allah nilai. Kamu masih punya banyak waktu untuk mengkoreksi diri..Doa Cg. tetap bersama kalian semua...

Wednesday, October 27, 2010

Kelas Terakhir - Sedihkah?

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah hampir 16 minggu Cg. mengajar di Matri. Pelbagai pengalaman dapat ditimba dari semasa ke semasa sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Cg juga buat pertama kalinya mengira jumlah hari, jam dan bilangan kelas yang Cg. masuk untuk meyakinkan diri Cg yang agak lama juga Cg berada bersama-sama dengan para pelajar.

Cg.bersama dengan kelas 2 Maryam selama 106 hari dengan 23 kali kelas yang bersamaan dengan 34.5 jam manakala Cg bersama dengan 2 Asma selama 107 hari iaitu bersamaan dengan 25 kali kelas merangkap 37.5 jam. Kelas 2 Bilal pula selama 107 hari, 38 kali kelas dan 38 jam dan 2 Ali selama 108 hari, 27 kali bilangan kelas dan 40.5 jam.

Apabila dikira dan diukur dengan angka sebegini, terasa lama Cg. bersama kalian sedangkan Cg. terasa baru sahaja mengajar kalian. Agaklah sedih kerana masa tak mengizinkan Cg. untuk terus mengajar, meladeni karenah kalian dan melihat kalian membesar dan berubah menjadi lebih baik dan matang dari hari ke hari. 

Tugasan terakhir Cg. untuk kalian adalah untuk menilai prestasi diri Cg. yang juga memberi ruang dan peluang untuk para pelajar mengkritik, menasihati, menegur, berkongsi apa yang ada dalam hati pelajar dengan Cg. selama Cg. mengajar pelajar BM. Alhamdulillah terdapat pelbagai komen dan nasihat yang pelajar tulis untuk Cg dan Cg. menerima teguran pelajar dengan hati yang terbuka. Seusai membaca apa yang tertulis di kertas itu, Cg. akan muhasabah diri Cg. semula. Menilai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri Cg. dan berazam untuk menjadi guru yang lebih baik pada masa akan datang.

Namun, dalam pada itu Cg. terkesima sebentar dengan satu penyataan yang menyebabkan Cg. agak 'down' seketika,..." saya tak suka cara Cg. mengajar". Barisan frasa ini menyentapkan Cg. buat seketika kerana Cg. berasa sedih ada juga antara pelajar Cg. yang tidak dapat menerima cara Cg. menyampaikan maklumat dan ilmu. Ada juga antara kalian yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pengajaran Cg. Amatlah sedih kerana Cg. sangat berusaha untuk memastikan semua pelajar memahami apa yang Cg. ajarkan. Maafkan Cg wahai pelajar kerana tidak dapat memberikan  yang terbaik untuk kamu.

Cg. menerima kritikan pelajar itu dengan hati yang terbuka dan kini Cg. sedar bahawa lebih ramai pelajar Cg. yang suka, dapat menerima, dapat menyesuaikan diri dengan pengajaran Cg,..maka untuk apa Cg. berduka dengan segaris penyataan itu. Cg. ambil kritikan itu dengan positif dan insya Allah pada masa akan datang, Cg akan memberi pelajar membuat penilaian di pertengahan kelas supaya Cg dapat mengetahui andai ada yang tak suka dengan Cg, Cg boleh tukar aktiviti khas untuk mereka yang tak suka pada aktiviti yang Cg. lakukan.

Terima Kasih kepada semua 156 orang pelajar tingkatan dua yang telah sudi menulis sesuatu untuk Cg. ingati dan kenangkan tentang diri kalian. Hari ini tertulis sebagai hari yang agak 'touching' bagi Cg. kerana hari ni last Cg. masuk mengajar kalian. Esok kamu akan menghadapi exam dan lepas exam cuti sekolah. Tahun depan Cg. pasti akan bertugas di tempat lain yang tidak diketahui statusnya sekarang. Maka, selepas ini tiada lagi peluang bagi Cg. untuk bertemu mata dengan pelajar di dalam kelas. Tiada lagi peluang untuk mengajar kalian yang nakal, menjawab soalan-soalan pelajar, dan berkongsi apa yang Cg. ada dengan pelajar. Memang kita boleh berjumpa di luar, di alam maya dsb namun semua itu tetap tidak sama dengan Cg. melihat karakter kamu di dalam kelas.

Pelajar, andai kamu tahu apa yang ada dalam hati Cg. Setiap daripada kamu ada tempatnya yang tersendiri dalam hati Cg. Cg. sangat kasih pada pelajar. Cg. rasa sangat dekat dengan kamu. Cg. boleh memahami kamu. Ingatlah pelajar, bahawa tiada sekelumit rasa pun yang membuatkan Cg. memilih antara kamu. Teringat kata-kata seorang Cikgu, " Para pelajar selalu memilih guru yang mana dia suka, dia sayang, kalau dia tak suka, dia tak buat kerja,so kita Cg pun boleh pilih laa anak murid mana ja yang kita suka, kita ajar...." Guru ini mungkin bergurau ataupun sekadar melepaskan rasa dek sikap pelajar yang gemar memilih guru mengikut cita rasa mereka. Apabila seseorang guru itu dilihat lebih akrab dengan mana-mana pelajar, dikatakan guru itu pilih kasih pula... Begitulah senario berat sebelah yang berlaku dalam hubungan pelajar-guru di sekolah..

Cg ingin memaklumkan kepada pelajar bahawa kamu semua sama di hati Cg. Tiada pilih kasih atau pilih sayang atau pilih apa2 sekalipun. Andai kamu merapati Cg., berkongsi masalah dengan Cg., minta tlg Cg., tentu Cg. akan membantu kamu, melayani kamu dsb. Bagi pelajar yang sering mengelak  daripada Cg., Cg.perasan tetapi Cg. hanya buat2 tak tahu kerana Cg. merasakan kamu tak selesa untuk bercerita dengan Cg. I'm okay wif that. 

Kesimpulanya di sini, pelajar 2 Ali, 2 Bilal, 2 Asma, 2 Maryam dan 2 Zaid. Walau bagaimana nakal pun kamu, petah bercakapnya kamu, bisingnya kamu, tidak hormat Cg.nya kamu, tidak buat homework, tidak suka pada Cg., buat hal sendiri, tidak pedulikan Cg,... Cg. telah berusaha untuk memberikan yang terbaik sehabis boleh kepada kamu kerana Cg. sayang kamu. Cg. marah kerana Cg. sayang, Cg. meleter kerana Cg. sayang, Cg. nasihat kerana Cg. kasih dan Cg. buat semua atas dasar cinta Cg. kepada pelajar dan bidang ini. I'm in love wif this carier... itu yang membuatkan Cg. membutakan mata, memekakkan telinga dan membentengkan hati daripada segala apa yang pelajar buat yang menyakitkan hati. Oleh yang demikian, normallah bagi Cg. untuk meletakkan harapan agar dalam hati pelajar ada sedikit rasa untuk 'menghargai' apa yang Cg. buat untuk kamu. 

Macam mana nak tahu kamu hargai atau tidak? Itu boleh dilihat menerusi kesungguhan, semangat, kerajinan dan keikhlasan kamu menyiapkan tugasan, buat latihan, kerap bertanya dan akhir sekali membuat sehabis baik dalam peperiksaan. Itu sahaja sudah cukup memadai dan membahagiakan hati seorang guru. Guru yang sentiasa mengajar tanpa erti lelah dan jemu. Guru novis yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk pelajar. Guru muda yang sentiasa cuba menyesuaikan diri dengan pelajar yang lebih muda. Guru baru yang sentiasa memikirkan idea-idea baru untuk menarik minat para pelajar dan guru yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan, namun masih memperbaiki diri  untuk sentiasa MEMBERI kepada para pelajarnya...

Panjang pula coretan Cg. kali ini. Masih banyak yang tersimpan dalam lipatan hati ini. Terlalu sukar untuk diluahkan semuanya. Apa yang pasti kamu semua tersimpan kemas dalam hati Cg. Insya Allah buat selama-lamanya. Pada pelajar Cg. yang baca, Cg. nak bagitahu suatu kata-kata yang Cg. tak boleh bagitahu secara berhadapan dengan kamu...

" ___nama kamu _____, Cikgu Sayang kamu !"

Wallahualam.


Friday, October 22, 2010

Kelas Bimbingan Bahasa Melayu

Kelas Tambahan?

emmm..hari ni merupakan kali ke-5 Cg. mengadakan kelas bimbingan Bahasa Melayu untuk para pelajar tingkatan dua.

Kali pertama ialah pada 10 Oktober 2010 yang lalu. Hari Ahad. Jam 2.00pm. Berlangsung di Lobi Matri untuk pelajar kelas 2 Ali. Antara yang hadir ialah J-pah,Umair,Muaz,Murtd,Ahmad,Basyir,Nabil,Addi,Haziq, Mirza, Syukri dan Syafiq Imran.

Kali kedua ialah pada 13 Oktober 2010. Hari Rabu. Kelas 2 Ali.  Lepas Isya di kelas 3 Usman. Antara yang hadir ialah nama-nama di atas dengan tambahan beberapa orang yg Cg. ingat Taqi,Zaki,Afdhal,Ashraful dan lain-lain. Kelas agak penuh dan bising waktu ni. Maklumlah,kelas informal, pelajar yang tak terlibat bising dan menganggu pelajar lain.

Kali ketiga ialah pada 18 Oktober 2010. Hari Isnin. Khas untuk 2 Bilal atas permintaan Mukhris dan Aleem. Kelas berlangsung di 2 Bilal lepas Isya. Kehadiran ditambah dengan Umair, Sadiid, Amin, Iqbal dll.

Kali keempat ialah pada 20 Oktober 2010. Hari Rabu. Kelas untuk pelajar 2 Asma dan 2 Maryam. Berlangsung di kelas dewan makan. Subhanallah ramai yang hadir. Sedikit kucar kacir dengan kehadiran adik Cg. yang kecil Abdullah Yaasir.

Kali kelima ialah hari ini untuk pelajar 2L Bilal dan Ali. Hari Jumaat pada jam 2.30pm di Lobi Matri. . Maaf sangat2 Cg. terlambat sedikit petang tadi kerana masalah yang timbul. Kehadiran : Iqbal,Hikam,Faiz,Safwan, Ashraful, Muaz, J-Pah, Umair, Ahmad, Mirza, Imran, Naim, Addi, Murtd, dan beberapa yang Cg tak ingat. Ramai juga yang datang menjenguk sahaja.

Hari ni Cg. rasa sedikit berserabut kerana tugasan yang pelajar lakukan adalah berbeza antara satu sama lain. Ada yang buat ringkasan, novel, karangan dan tatabahasa. Maaf Cg ucapkan kepada pelajar yang tidak mendapat perhatian Cg secara khusus dek tumpuan Cg pada yang masih tidak faham. Serasa Cg. kurang memberi input kepada kamu pada hari ini dan Cg. berasa sangat tidak puas hati dengan pengajaran Cg pada hari ini. Hanya sebahagian kecil daripada kamu yang sempat Cg terangkan secara satu persatu tentang ringkasan sahaja yang melegakan hati Cg. Maaf pelajar ya atas kekurangan Cg itu.

Kelas keenam sebenarnya milik 2 Maryam, namun pada hari Sabtu, cg. menjenguk ke kelas tersebut tiada siapa pun disitu. Agak mengecewakan juga kerana mereka beriya meminta kelas tambahan. Allah izin kelas ni tak boleh berjalan kerana antara mereka ada yang ada hal lain. Oleh itu, kelas keenam jatuh pada hari Rabu petang bersama 2 Ali dan 2 Bilal. Wajah penuh kesungguhan yang sama yang ada dalam kelas, namun apa yang membezakan sessi kali ini dengan sessi lain ialah, pelajar lebih bersungguh kerana tarikh exam sudah dekat. Ada tambahan wajah baru seperti Hanif, Aiman, Ali Imran, Syahir dan lain-lain. Alhamdulillah.
Terima Kasih semua kerana mengorbankan masa main pada waktu petang untuk study BM..Bukan selalu kamu buat macam ni kan? hehe..^_^

Teruskan usaha kamu sehabis baik. Selamat berjuang dalam peperiksaan yang bakal menjelang.

Walau bagaimanapun, setiap usaha yang kita lakukan ada nilainya di sisi Allah andai kita ikhlas dan melakukanya dengan niat untuk mendapat redha Allah. betul tak? insya Allah. Semoga berjaya untuk semua!

wallahualam.

Friday, October 15, 2010

Pertandingan Drama

PERTANDINGAN DRAMA KELAS 2 BILAL
DRAMA BUYUNG vs DRAMA PENUNGGU PUSAKA

Pada Ogos yang lalu, Cg. telah menganjurkan pertandingan Drama Komsas yang belum dipelajari oleh kelas 2 Bilal. Justeru untuk memastikan semua pelajar terlibat, Cg. telah mengagihkan tugas kepada setiap individu di dalam kelas seperti Juri, Pengerusi Majlis, Penjaga Masa, Para Pelakon dan Pembuat Nota. Pengerusi majlis ini adalah Sdr.Iqbal Bustami manakala jurinya terdiri daripada Hakimi, Naufal, Hazim dan Syed Sadiid. Penjaga masa pula diserahkan kepada Wan Syafiq. Alhamdulillah, team juri memberikan kerjasama yang baik kepada Cg. Terima Kasih. Jom kita tengok gambar-gambar yang ada. 

suasana di Perpustakaan pada hari kejadian.
Pelakon Kump Penunggu Pusaka
Ketua Juri 
Juri Lakonan
Juri Intonasi
Juri Persembahan
Penjaga Masa
2 orang 'pengawal' kegemaran Cg..^_^
Para pelakon Buyung
Pengerusi Majlis


Begitulah apa yang sempat dirakamkan. Pertandingan akhirnya selesai dengan pengumuman bahawa lakonan para pelakon Buyung berjaya mencuri hari juri. Mereka menang dengan kelebihan 10 mata. Walaubagaimana pun pelakon Terbaik telah diberikan kepada Aleem manakala pelakon pembantu terbaik jatuh kepada Hadi Hakimi. Para pelajar telah diberikan hadiah dan saguhati oleh Cg.

Teringat Cg. pada kata-kata salah seorang daripada juri, " Cg.,susah juga nak bagi markah dan jadi juri ni. Budak-budak ni tak serius". 

"Hah, sekarang kamu faham tak perasaan Cg. selama ni tambah-tambah waktu Ujian Lisan". balas Cg.

Mereka hanya tersenyum. Begitulah. Apabila kita menjadi juri dan menilai orang lain, waktu itu baru kita sedar bahawa terdapat pelbagai kepincangan dan ketidakseriusan yang berlaku dalam kalangan kamu sendiri.
Marilah sama-sama kita perbaiki kelemahan kita dari masa ke semasa. Semoga kamu mendapat sesuatu daripada lakonan drama Buyung dan Penunggu Pusaka ini. Wallahualam.

Monday, October 11, 2010

Dunia seorang pelajar...

Bergelar seorang pelajar sememangnya suatu yang amat berharga dan membahagiakan. Namun, kebanyakan pelajar hanya menyedari hakikat ini setelah mereka sudah tidak bergelar pelajar lagi.Mengapa? Hal ini demikian kerana dunia pelajar sering dihujani dengan pelbagai rencah masalah dan dugaan yang mencabar ketahanan jiwa,emosi,fizikal dan akal pelajar terutamanya bagi mereka yang kali pertama diuji dengan masalah yang besar, tanggungjawab yang besar serta pelbagai tugasan yang menuntut komitmen yang tinggi.

Hari ini Cg. belajar sesuatu yang baru. Perkara ini bukanlah baru, cuma bagi Cg. ia adalah suatu pengetahuan baru untuk Cg. semaikan dalam fikiran untuk memudahkan Cg. terus mendekati pelajar. Perkara ini ialah pelajar yang baru pertama kali menerima tanggungjawab, amanah, kepercayaan yang tinggi tidak kira samada diberi oleh guru, rakan mahupun warden, akan memberi sedikit tekanan kepada pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana pelajar itu merasai taklifan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan risau akan ketidakmampuanya memenuhi permintaan guru itu.

Pelajar yang Cg. kasihi, tidak mengapa andai kamu berasa begitu malah baik untuk berperasaan begitu kerana tekanan itu seharusnya akan mendorong kamu untuk membuktikan kemampuan dan kecekapan kamu dalam sesuatu perkara yang dipertanggungjawabkan. Malah, dalam pada itu kamu harus bijak mengawal tekanan tersebut supaya kehadiranya tidak menjejaskan tumpuan kamu di dalam kelas dan prestasi kamu dalam pelajaran.

Bertindak bijak!. Ya. Itulah yang seharusnya pelajar lakukan apabila berhadapan dengan konflik seumpama ini. Setelah kamu berjaya melalui cabaran dan rintangan itu, kamu akan lebih yakin dan bersemangat untuk meneruskan hidup dan perkara ini akan mematangkan fikiran kamu. Cg. bangga andai kalian semua ditugaskan dengan tanggungjawab yang berat kerana itu membuktikan pelajar Cg. ini seorang yang berkebolehan dan berupaya melaksanakan amanah yang diberi dengan baik. Jika kamu tidak memiliki kelebihan itu, kamu tidak akan dipilih oleh Allah untuk memikul amanah itu sedari awal lagi.

Percayalah pelajar, ujian,cabaran, rintangan yang kamu hadapi sekarang hanyalah secebis daripada masalah-masalah yang akan datang di sepanjang kehidupan kita. Maka, kekallah kamu dalam mod positif supaya kamu tidak tergelincir daripada jalan yang benar. Pengalaman suka dan duka, berjaya dan melakukan kesilapan, tersilap langkah dan sebagainya adalah suatu permata yang akan melahirkan KAMU yang hebat suatu hari nanti..bersabarlah..

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kamu.

Andai kamu perlukan seseorang untuk 'spill', Cg. boleh menjadi pendengar yang setia..^_^

Sunday, October 10, 2010

10.10.10

Hari ini tarikhnya sedap dan menarik..

10.10.10..

Tarikh ini adalah tarikh bersejarah buat Cg. dan Naim kerana kami dilahirkan pada  hari yang sama. Justeru Cg. ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Eidul Milad buat pelajar Cg yang bernama Muhammad Naim bin Rozaini. Semoga Naim berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

Buat semua pelajar yang lahir dalam bulan Oktober juga Cg. layangkan ucapan Eidul Milad dengan doa agar kalian terus berjaya dalam pelajaran dan dipermudahkan Allah dalam setiap urusan.

Tidak lupa ucapan TERIMA KASIH kepada semua para pelajar Cg yang telah memberi ucapan ingatan atas hari lahir yang ke-24 ni..Cg. dah tua kan? hihi

Barakallah..

Wednesday, October 6, 2010

Komitmen aset Penting!

06.10.10
Rabu.

Aktiviti : Memburu Khazanah Melayu a.k.a Treasure Hunt versi BM.

Setelah seminggu Cg. membuat perancangan dan persiapan untuk mengadakan aktiviti Treasure Hunt ini kepada para pelajar. Pagi tadi Cg.bangun awal untuk memastikan setiap persediaan yang Cg. lakukan di susun dengan kemas. Untuk pengetahuan pelajar, ini adalah kali pertama Cg. mengendalikan aktiviti Treasure Hunt versi outdoor sendirian daripada seawal proses sehingga ke akhir proses meletakkan tanda CP di tempatnya. Alhamdulillah, Allah memberikan idea dan kekuatan untuk merealisasikan hasrat Cg. untuk menggembirakan pelajar dengan aktiviti luar kelas.

Setelah bersedia CP diletakkan di tempatnya. Antara 8 Check Point bertuah yang Cg. gunakan ialah :-

1. Kantin
2. Tempat Parking Bas Sekolah.
3. Pokok Mata Kucing (dwn mkn)
4. Pokok Mempelam (dpn bilik warden)
5. Meja Batu di sebelah Aspura.
6. Padang Hoki.
7. Kelas 2 Ali.
8. Kereta PFG.

Tempat yang dipilih ini adalah sesuai untuk CP dan jaraknya paling minima antara satu sama lain. Pendek kata boleh tahanlaa jaraknya untuk Cg. memantau pergerakan pelajar. Alhamdulillah, syukur Cg. pada Yang Maha Mengatur kerana pelajar 2 Ali hari ini dapat dikumpulkan di padang pada jam 9.15 am iaitu lima minit daripada masa kelas BM iaitu 9.10 am. Setelah beratur mengikut kumpulan dan mendengar taklimat, Priittt...permainan bermula.

Gembira Cg. melihat kesungguhan kamu. 
Suka Cg. melihat KOMITMEN kamu.
Lapang Cg. tidak melihat wajah masam kamu.

Cg. sempat merakamkan gambar ketika permainan sedang berlangsung. 

Amirul Hafiz dan Taqiyuddin di CP 4

Kumpulan 2 di CP 5

CP 6 - Padang Hoki
Shuk, Hafizi, Umar, Safiudin
Kump 6 kini bersatu.
Kump 5 yang 'nakal'
CP 2 bersebelahan Istana Lalat
CP 3 di Pokok Mata Kucing

Kump 7 kekalkan momentum
Cari kesalahan ejaan dalam teks.





Faiz atas pokok?
Mengapa Faiz Rejab berada di atas pokok? Jawapanya adalah kerana Cg. minta Faiz panjat dan turunkan plastik CP3 itu. Sepanjang perjalanan permainan pada hari ini, Cg. hampir berpuas hati kecuali pada satu perkara penting iaitu sikap pelajar yang Cg. fikirkan tidak jujur dan serius walaupun pada pelajar hal ini adalah biasa. Apakah sikap itu? Sikap menyorokkan kertas CP Kumpulan lain atau meletakkan di tempat yang susah dicari dengan kata lain mengubah kedudukan kertas CP Kumpulan lain dengan niat untuk melambatkan pergerakan mereka. 

Contohnya terdapat kumpulan yang meletakkan plastik CP di atas pokok pada kedudukan yang tinggi. Adakah kamu berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan? Andai berlaku apa-apa pada sesiapa yang sedang memanjat pokok, kesalahan itu harus diletakkan pada siapa? Pada Cg. bukan? Sedang Cg. berfikir untuk membuat aktiviti outdoor, kamu tidak berfikir untuk menjaga keselamatan diri kamu sendiri. Cg.harap pelajar  dapat berfikir sebelum bertindak melakukan sesuatu walaupun pada hemat kamu ia adalah untuk mengusik, bergembira dan sebagainya.

Emm...di sini juga ingin Cg. ucapkan Tahniah kepada 2 Ali atas kecepatan kalian menyelesaikan semua CP yang diberikan. Kamu telah berjaya mengatasi masa 1 jam yang Cg.berikan. Semua kumpulan telah melapor diri kepada Cg. di Pentas pada antara jam 9.55 am - 10.10am. Pemenang yang paling pantas tiba di pentas ialah KUMPULAN 8 yang dianggotai oleh Ahmad Nursi, Ahmad Basyir,Afdhal, Syafiq M dan Asnawi.

Tahniah sekali lagi kerana kamu berjaya melengkapkan setiap tugasan yang diberikan. Ini adalah KOMITMEN yang Cg. suka dan hargai. Komitmen daripada kamu yang sebegini akan membantu Cg. mencambah idea untuk terus beraktiviti dengan kamu di dalam kelas Bahasa Melayu. Teruskanlah memberi komitmen terhadap mata pelajaran lain di dalam kelas ya.

Permainan hari ini berakhir dengan kita sama-sama berehat, makan dan minum di pentas. Terima Kasih kepada yang membantu Cg. membersihkan semula pentas. Syukur Cg. kehadrat Illahi atas kesungguhan dan komitmen yang pelajar berikan pada hari ini. Barakallah...

Pelajarku yang dikasihi,.. fahamilah..semangat yang ada dalam diri seorang guru...

Monday, October 4, 2010

Maaf

Hari ini Cg.telah berazam untuk memaafkan segala kesilapan,tindakan, kekasaran, kekurangajaran, ketidaksopanan dan segala perlakuan pelajar samada yang sengaja atau tidak disengajakan. Hari ini juga Cg.mengajak pelajar untuk kembali muhasabah tujuan asal pelajar datang ke sekolah dan tujuan Cg.hadir ke sekolah untuk mengajar pelajar. Ya.Setelah berfikir dengan akal yang waras, wajar Cg.maafkan pelajar kerana kita semua manusia biasa yang sentiasa melakukan kesalahan TETAPi dalam kemaafan itu Cg.mengharapkan kita semua dapat saling mempertingkatkan potensi diri masing-masing kerana kita semua punya ruang dan peluang untuk berjaya.

Berbalik kepada persoalan tujuan, kita akan dapat menilai sejauh mana usaha kita untuk mencapai matlamat yang diimpikan. Apakah tindakan kita dalam memenuhi impian dan harapan kedua ibu bapa kita yang bersusah payah berusaha mencari wang untuk menangung perbelanjaan persekolahan kita.

What is life is all about? Kehidupan kita ni untuk siapa? Untuk kita kah? Untuk ibu bapa kitakah? 
Kemana akhirnya hidup kita? Ya. Kita akan balik bertemu Allah swt.
Oleh yang demikian ternampaklah oleh kita akan peri pentingnya kita menyiapkan diri kita dengan ilmu Islam dan ilmu akademik supaya kita tidak mudah ditewaskan oleh arus jahiliyyah yang semakin pekat. Kita mendambakan madhatillah (keredhaan Allah) dan salah satu jalan untuk mencapai matlamat itu adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh, tidak lalai dengan ibadah dan selesai dalam urusan muamalat.

Begitulah sedikit pesan Cg. pada kamu semua. Hari ini Cg. telah maafkan semua kesalahan kalian dengan harapan Allah terus memberi kekuatan kepada Cg. untuk sabar mengajar kalian dalam masa yang berbaki ini. 

Wallahualam.

Cikgu,PLBS,Kamu..

PENTAKSIRAN LISAN BERASASKAN SEKOLAH
JULAI 2010


Seawal mengambil alih tugas daripada Cg.Nadhirah, Cg.sudah diamanahkan untuk menjalankan Pentaksiran Lisan berasaskan Sekolah (PLBS) kepada para pelajar Tingkatan 2. PLBS ini harus diselesaikan dalam bulan Julai. Pengalaman ini agak mencabar kerana pada peringkat ini Cg. masih belum mengenali pelajar secara menyeluruh. Antara yang perlu dilakukan ialah meminta pelajar membuat persediaan dari segi mencari tajuk, mencari isi penting untuk tajuk yang dipilih, membina ayat, menyesuaikan ayat dengan Ujian Lisan yang dijalankan dalam bentuk forum. Cg.tidak jemu-jemu menerangkan dan membantu adik-adik pelajar mengharungi PLBS ini. Alhamdulillah, sangat bersyukur kerana terdapat sebahagian pelajar yang bersungguh-sungguh menyiapkan tugasan ini dan berlatih dengan giat. Perkara seumpama ini meningkatkan semangat Cg. untuk terus membimbing pelajar untuk membuat yang terbaik dalam Ujian Lisan ni. Bagi pelajar yang kurang bersemangat tetap Cg. 'push' dan paksa dan bimbing untuk menyiapkan tugasan ini. Alhamdulillah, berkat usaha semua, PLBS telah selesai dengan jayanya dalam bulan Julai setelah berhempas pulas meredah segala cabaran. 

Gambar-gambar di bawah ni sempat dirakamkan setelah selesai PLBS. 

Kelas 2 Ali selepas selesai PLBS
Cg. dan pelajar.
Sapa ni? Ali Imran, Hudzaifah,Basyir,Fakhrur Radzi,Haziq,
Nabil,Umar Faruq,Addi
Gembira terlepas satu bebanan..
Bangunan tempatku menapak setiap hari di Bumi Matri..
Ni kelas 2 Bilal pulak..Kumpulan 6
Hero kumpulan 3
Wajah Kumpulan 5
Wira  kumpulan 4
Pendekar Kumpulan 2
Pemuda Kumpulan 1
 Begitulah gelagat para pelajar puteraku.. Pantang jika ada peluang untuk bergambar..Pelajar, ingatlah tugas utama kalian sebagai pelajar ialah untuk mengutip sebanyaknya ilmu dan kefahaman untuk dijadikan bekalan masa hadapan di dunia dan akhirat..Cg. sentiasa doakan kalian!