Showing posts with label Kata Cikgu. Show all posts
Showing posts with label Kata Cikgu. Show all posts

Wednesday, October 27, 2010

Kelas Terakhir - Sedihkah?

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah hampir 16 minggu Cg. mengajar di Matri. Pelbagai pengalaman dapat ditimba dari semasa ke semasa sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Cg juga buat pertama kalinya mengira jumlah hari, jam dan bilangan kelas yang Cg. masuk untuk meyakinkan diri Cg yang agak lama juga Cg berada bersama-sama dengan para pelajar.

Cg.bersama dengan kelas 2 Maryam selama 106 hari dengan 23 kali kelas yang bersamaan dengan 34.5 jam manakala Cg bersama dengan 2 Asma selama 107 hari iaitu bersamaan dengan 25 kali kelas merangkap 37.5 jam. Kelas 2 Bilal pula selama 107 hari, 38 kali kelas dan 38 jam dan 2 Ali selama 108 hari, 27 kali bilangan kelas dan 40.5 jam.

Apabila dikira dan diukur dengan angka sebegini, terasa lama Cg. bersama kalian sedangkan Cg. terasa baru sahaja mengajar kalian. Agaklah sedih kerana masa tak mengizinkan Cg. untuk terus mengajar, meladeni karenah kalian dan melihat kalian membesar dan berubah menjadi lebih baik dan matang dari hari ke hari. 

Tugasan terakhir Cg. untuk kalian adalah untuk menilai prestasi diri Cg. yang juga memberi ruang dan peluang untuk para pelajar mengkritik, menasihati, menegur, berkongsi apa yang ada dalam hati pelajar dengan Cg. selama Cg. mengajar pelajar BM. Alhamdulillah terdapat pelbagai komen dan nasihat yang pelajar tulis untuk Cg dan Cg. menerima teguran pelajar dengan hati yang terbuka. Seusai membaca apa yang tertulis di kertas itu, Cg. akan muhasabah diri Cg. semula. Menilai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri Cg. dan berazam untuk menjadi guru yang lebih baik pada masa akan datang.

Namun, dalam pada itu Cg. terkesima sebentar dengan satu penyataan yang menyebabkan Cg. agak 'down' seketika,..." saya tak suka cara Cg. mengajar". Barisan frasa ini menyentapkan Cg. buat seketika kerana Cg. berasa sedih ada juga antara pelajar Cg. yang tidak dapat menerima cara Cg. menyampaikan maklumat dan ilmu. Ada juga antara kalian yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pengajaran Cg. Amatlah sedih kerana Cg. sangat berusaha untuk memastikan semua pelajar memahami apa yang Cg. ajarkan. Maafkan Cg wahai pelajar kerana tidak dapat memberikan  yang terbaik untuk kamu.

Cg. menerima kritikan pelajar itu dengan hati yang terbuka dan kini Cg. sedar bahawa lebih ramai pelajar Cg. yang suka, dapat menerima, dapat menyesuaikan diri dengan pengajaran Cg,..maka untuk apa Cg. berduka dengan segaris penyataan itu. Cg. ambil kritikan itu dengan positif dan insya Allah pada masa akan datang, Cg akan memberi pelajar membuat penilaian di pertengahan kelas supaya Cg dapat mengetahui andai ada yang tak suka dengan Cg, Cg boleh tukar aktiviti khas untuk mereka yang tak suka pada aktiviti yang Cg. lakukan.

Terima Kasih kepada semua 156 orang pelajar tingkatan dua yang telah sudi menulis sesuatu untuk Cg. ingati dan kenangkan tentang diri kalian. Hari ini tertulis sebagai hari yang agak 'touching' bagi Cg. kerana hari ni last Cg. masuk mengajar kalian. Esok kamu akan menghadapi exam dan lepas exam cuti sekolah. Tahun depan Cg. pasti akan bertugas di tempat lain yang tidak diketahui statusnya sekarang. Maka, selepas ini tiada lagi peluang bagi Cg. untuk bertemu mata dengan pelajar di dalam kelas. Tiada lagi peluang untuk mengajar kalian yang nakal, menjawab soalan-soalan pelajar, dan berkongsi apa yang Cg. ada dengan pelajar. Memang kita boleh berjumpa di luar, di alam maya dsb namun semua itu tetap tidak sama dengan Cg. melihat karakter kamu di dalam kelas.

Pelajar, andai kamu tahu apa yang ada dalam hati Cg. Setiap daripada kamu ada tempatnya yang tersendiri dalam hati Cg. Cg. sangat kasih pada pelajar. Cg. rasa sangat dekat dengan kamu. Cg. boleh memahami kamu. Ingatlah pelajar, bahawa tiada sekelumit rasa pun yang membuatkan Cg. memilih antara kamu. Teringat kata-kata seorang Cikgu, " Para pelajar selalu memilih guru yang mana dia suka, dia sayang, kalau dia tak suka, dia tak buat kerja,so kita Cg pun boleh pilih laa anak murid mana ja yang kita suka, kita ajar...." Guru ini mungkin bergurau ataupun sekadar melepaskan rasa dek sikap pelajar yang gemar memilih guru mengikut cita rasa mereka. Apabila seseorang guru itu dilihat lebih akrab dengan mana-mana pelajar, dikatakan guru itu pilih kasih pula... Begitulah senario berat sebelah yang berlaku dalam hubungan pelajar-guru di sekolah..

Cg ingin memaklumkan kepada pelajar bahawa kamu semua sama di hati Cg. Tiada pilih kasih atau pilih sayang atau pilih apa2 sekalipun. Andai kamu merapati Cg., berkongsi masalah dengan Cg., minta tlg Cg., tentu Cg. akan membantu kamu, melayani kamu dsb. Bagi pelajar yang sering mengelak  daripada Cg., Cg.perasan tetapi Cg. hanya buat2 tak tahu kerana Cg. merasakan kamu tak selesa untuk bercerita dengan Cg. I'm okay wif that. 

Kesimpulanya di sini, pelajar 2 Ali, 2 Bilal, 2 Asma, 2 Maryam dan 2 Zaid. Walau bagaimana nakal pun kamu, petah bercakapnya kamu, bisingnya kamu, tidak hormat Cg.nya kamu, tidak buat homework, tidak suka pada Cg., buat hal sendiri, tidak pedulikan Cg,... Cg. telah berusaha untuk memberikan yang terbaik sehabis boleh kepada kamu kerana Cg. sayang kamu. Cg. marah kerana Cg. sayang, Cg. meleter kerana Cg. sayang, Cg. nasihat kerana Cg. kasih dan Cg. buat semua atas dasar cinta Cg. kepada pelajar dan bidang ini. I'm in love wif this carier... itu yang membuatkan Cg. membutakan mata, memekakkan telinga dan membentengkan hati daripada segala apa yang pelajar buat yang menyakitkan hati. Oleh yang demikian, normallah bagi Cg. untuk meletakkan harapan agar dalam hati pelajar ada sedikit rasa untuk 'menghargai' apa yang Cg. buat untuk kamu. 

Macam mana nak tahu kamu hargai atau tidak? Itu boleh dilihat menerusi kesungguhan, semangat, kerajinan dan keikhlasan kamu menyiapkan tugasan, buat latihan, kerap bertanya dan akhir sekali membuat sehabis baik dalam peperiksaan. Itu sahaja sudah cukup memadai dan membahagiakan hati seorang guru. Guru yang sentiasa mengajar tanpa erti lelah dan jemu. Guru novis yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk pelajar. Guru muda yang sentiasa cuba menyesuaikan diri dengan pelajar yang lebih muda. Guru baru yang sentiasa memikirkan idea-idea baru untuk menarik minat para pelajar dan guru yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan, namun masih memperbaiki diri  untuk sentiasa MEMBERI kepada para pelajarnya...

Panjang pula coretan Cg. kali ini. Masih banyak yang tersimpan dalam lipatan hati ini. Terlalu sukar untuk diluahkan semuanya. Apa yang pasti kamu semua tersimpan kemas dalam hati Cg. Insya Allah buat selama-lamanya. Pada pelajar Cg. yang baca, Cg. nak bagitahu suatu kata-kata yang Cg. tak boleh bagitahu secara berhadapan dengan kamu...

" ___nama kamu _____, Cikgu Sayang kamu !"

Wallahualam.


Sunday, October 10, 2010

10.10.10

Hari ini tarikhnya sedap dan menarik..

10.10.10..

Tarikh ini adalah tarikh bersejarah buat Cg. dan Naim kerana kami dilahirkan pada  hari yang sama. Justeru Cg. ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Eidul Milad buat pelajar Cg yang bernama Muhammad Naim bin Rozaini. Semoga Naim berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

Buat semua pelajar yang lahir dalam bulan Oktober juga Cg. layangkan ucapan Eidul Milad dengan doa agar kalian terus berjaya dalam pelajaran dan dipermudahkan Allah dalam setiap urusan.

Tidak lupa ucapan TERIMA KASIH kepada semua para pelajar Cg yang telah memberi ucapan ingatan atas hari lahir yang ke-24 ni..Cg. dah tua kan? hihi

Barakallah..

Monday, October 4, 2010

Maaf

Hari ini Cg.telah berazam untuk memaafkan segala kesilapan,tindakan, kekasaran, kekurangajaran, ketidaksopanan dan segala perlakuan pelajar samada yang sengaja atau tidak disengajakan. Hari ini juga Cg.mengajak pelajar untuk kembali muhasabah tujuan asal pelajar datang ke sekolah dan tujuan Cg.hadir ke sekolah untuk mengajar pelajar. Ya.Setelah berfikir dengan akal yang waras, wajar Cg.maafkan pelajar kerana kita semua manusia biasa yang sentiasa melakukan kesalahan TETAPi dalam kemaafan itu Cg.mengharapkan kita semua dapat saling mempertingkatkan potensi diri masing-masing kerana kita semua punya ruang dan peluang untuk berjaya.

Berbalik kepada persoalan tujuan, kita akan dapat menilai sejauh mana usaha kita untuk mencapai matlamat yang diimpikan. Apakah tindakan kita dalam memenuhi impian dan harapan kedua ibu bapa kita yang bersusah payah berusaha mencari wang untuk menangung perbelanjaan persekolahan kita.

What is life is all about? Kehidupan kita ni untuk siapa? Untuk kita kah? Untuk ibu bapa kitakah? 
Kemana akhirnya hidup kita? Ya. Kita akan balik bertemu Allah swt.
Oleh yang demikian ternampaklah oleh kita akan peri pentingnya kita menyiapkan diri kita dengan ilmu Islam dan ilmu akademik supaya kita tidak mudah ditewaskan oleh arus jahiliyyah yang semakin pekat. Kita mendambakan madhatillah (keredhaan Allah) dan salah satu jalan untuk mencapai matlamat itu adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh, tidak lalai dengan ibadah dan selesai dalam urusan muamalat.

Begitulah sedikit pesan Cg. pada kamu semua. Hari ini Cg. telah maafkan semua kesalahan kalian dengan harapan Allah terus memberi kekuatan kepada Cg. untuk sabar mengajar kalian dalam masa yang berbaki ini. 

Wallahualam.

Tuesday, September 28, 2010

Sekian Lama...

Assalamualaikum wrht.

Alhamdulillah, setelah sekian lama Cikgu (Cg.) mencongak dalam fikiran, Cg mengambil keputusan untuk menyediakan suatu ruangan khas untuk Cg. bercerita tentang perjalanan hari-hari Cg. di bumi wakafan bernama Matri. Matri adalah singkatan kepada Ma'had Attarbiyyah al-Islamiyyah. Sekolah yang sangat istimewa di hati Cg. ini terletak jauh di Perkampungan Tunjong, Beseri,Perlis.

Beradanya Cg. di sini adalah untuk menggantikan seorang guru Bahasa Melayu yang sedang diuji Allah dengan sakit yang menyebabkan Cg. ditakdirkan untuk berkenalan dan mengajar para pelajar Tingkatan Dua tahun 2010 di Matri ini.

Insya Allah akan Cg. kongsikan segala pengalaman dan kerenah serta pelbagai aktiviti di dalam kelas untuk tatapan anda dan sebagai catatan memori untuk diri Cg. sendiri. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat mencetuskan penambahbaikan samada daripada diri Cg.sendiri mahupun pembaca serta pelajarku sekalian. Mari bersama kita menkoreksi diri dalam usaha menjadi hambaNya yang soleh dan muslih..