Monday, October 11, 2010

Dunia seorang pelajar...

Bergelar seorang pelajar sememangnya suatu yang amat berharga dan membahagiakan. Namun, kebanyakan pelajar hanya menyedari hakikat ini setelah mereka sudah tidak bergelar pelajar lagi.Mengapa? Hal ini demikian kerana dunia pelajar sering dihujani dengan pelbagai rencah masalah dan dugaan yang mencabar ketahanan jiwa,emosi,fizikal dan akal pelajar terutamanya bagi mereka yang kali pertama diuji dengan masalah yang besar, tanggungjawab yang besar serta pelbagai tugasan yang menuntut komitmen yang tinggi.

Hari ini Cg. belajar sesuatu yang baru. Perkara ini bukanlah baru, cuma bagi Cg. ia adalah suatu pengetahuan baru untuk Cg. semaikan dalam fikiran untuk memudahkan Cg. terus mendekati pelajar. Perkara ini ialah pelajar yang baru pertama kali menerima tanggungjawab, amanah, kepercayaan yang tinggi tidak kira samada diberi oleh guru, rakan mahupun warden, akan memberi sedikit tekanan kepada pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana pelajar itu merasai taklifan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan risau akan ketidakmampuanya memenuhi permintaan guru itu.

Pelajar yang Cg. kasihi, tidak mengapa andai kamu berasa begitu malah baik untuk berperasaan begitu kerana tekanan itu seharusnya akan mendorong kamu untuk membuktikan kemampuan dan kecekapan kamu dalam sesuatu perkara yang dipertanggungjawabkan. Malah, dalam pada itu kamu harus bijak mengawal tekanan tersebut supaya kehadiranya tidak menjejaskan tumpuan kamu di dalam kelas dan prestasi kamu dalam pelajaran.

Bertindak bijak!. Ya. Itulah yang seharusnya pelajar lakukan apabila berhadapan dengan konflik seumpama ini. Setelah kamu berjaya melalui cabaran dan rintangan itu, kamu akan lebih yakin dan bersemangat untuk meneruskan hidup dan perkara ini akan mematangkan fikiran kamu. Cg. bangga andai kalian semua ditugaskan dengan tanggungjawab yang berat kerana itu membuktikan pelajar Cg. ini seorang yang berkebolehan dan berupaya melaksanakan amanah yang diberi dengan baik. Jika kamu tidak memiliki kelebihan itu, kamu tidak akan dipilih oleh Allah untuk memikul amanah itu sedari awal lagi.

Percayalah pelajar, ujian,cabaran, rintangan yang kamu hadapi sekarang hanyalah secebis daripada masalah-masalah yang akan datang di sepanjang kehidupan kita. Maka, kekallah kamu dalam mod positif supaya kamu tidak tergelincir daripada jalan yang benar. Pengalaman suka dan duka, berjaya dan melakukan kesilapan, tersilap langkah dan sebagainya adalah suatu permata yang akan melahirkan KAMU yang hebat suatu hari nanti..bersabarlah..

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kamu.

Andai kamu perlukan seseorang untuk 'spill', Cg. boleh menjadi pendengar yang setia..^_^

1 comment:

  1. To secret :
    Sapa rasa cg tuju kat dia..betul laa tu...
    tepuk dada tanya iman

    ReplyDelete