Thursday, October 28, 2010

Cerita Peperiksaan Akhir Tahun...


28 Oktober 2010
Khamis.

Hari ini merupakan hari pertama para pelajar Tingkatan 1 dan 2 menduduki peperiksaan akhir tahun bagi sessi pembelajaran 2010. Hariku bermula penuh kalut dek kelas puteri yang belum tersusun mejanya. Bukan sekadar itu, meja tak cukup pula. Ke hulu ke hilir aku bertanya kepada guru-guru dan pelbagai cadangan dan arahan dikeluarkan dan akhirnya setelah puteri-puteri itu berarak ke sana ke mari, mereka semua selamat menjawab periksa di dalam dewan tempat form 4 exam. Syukur satu perkara sudah selesai.

Aku melihat jam. Pelajar sedang menjawab soalan BM kertas 1. Doaku agar Allah permudahkan mereka.Tidak lama kemudian kedengaran suara Ust Yazib mencariku. Ada masalah pada soalan 20 katanya. Jantung berdetak kencang khuatir ada kesilapan besar pada soalan itu. Aku menyelak kertas soalan dan mendapati terdapat perkataan yang seharusnya bergaris tidak bergaris pula. Lantas aku bergegas bergerak menuju ke kelas 2 Ali, 2 Bilal, 2 Zaid, 2 Asma dan 2 Maryam. Dari jauh dapatku lihat dahi pelajarku berkerut-kerut, dan sebaik sahaja terpandang wajahku, bibir mereka mula mengukir kata " susah laa cikgu"..
Di kelas 2 Ali paling kuat kedengaran perkataan susah itu. Penyumbang utama suaranya tentulah daripada AH. Reaksi yang sama kuperolehi daripada 2 Bilal dan 2 Zaid.

Kemudian aku bergerak ke bangunan akademik, sebaik sahaja pelajar puteri memandangku, beberapa orang turut menyampaikan rasa 'susah'nya mereka menjawab soalan BM itu kepadaku.

'Alamak, susah sangat ke?' aku menyoal diriku. Aku pulang ke bilik guru dan menyemak semula soalan2 itu. Serasaku sebahagian besar daripada teknikal tatabahasa yang ada dalam soalan itu sudah dibincangkan di dalam kelas. Cuma, bagi soalan yang memerlukan kepada pengetahuan perbendaharaan kata yang luas, itu tergantung kepada pengetahuan pelajar itu sendiri.

Menyesalkah aku membina soalan yang sukar untuk pelajar?

Sudah tentu tidak. Aku cuma berasa sedikit risau jika mereka benar-benar tidak dapat menjawab dengan baik soalan-soalan itu. Doa tetap kuhulur tidak putus-putus. Selesai kertas 1, pelajar mula menyerbu dan bertanya pelbagai soalan. Aku sudah tidak sabar-sabar untuk melihat prestasi mereka. Ini adalah kali pertama aku mengajar BM dan hasilnya itu bakal dilihat menerusi pencapaian mereka. Lantas ku tanda 3 kelas mengikut masa yang ada.

Hati terasa panas. Sedih? Bukan. Kecewa? Tidak. Gembira? Tentu sahaja bukan. Entah, apa yang membuatkan hatiku bagai diramas adalah kerana melihat angka yang dicapai oleh pelajarku tidak setinggi yang mereka harapkan. (sudah tentu) terutama bagi yang sudah berusaha sedaya mungkin, membuat latihan, bertanya tanpa jemu dan sebagainya. Perkara ini tersenarai sebagai suatu daripada penyusunan Allah. Aku yakin.

Sekali lagi aku menyoal diriku. ' Menyesal ke buat soalan yg pelajar rasa sukar?'
Sekali lagu aku menjawab ' Tidak'. Padaku biar pelajar tidak mendapat markah setinggi langit sekarang, biar mereka membiasakan diri mereka dengan soalan sukar supaya mereka dapat mencapai markah yang tinggi dalam PMR nanti. Itulah harapanku. Aku ingin meletakkan standart yang tinggi kepada mereka. Aku tidak mahu mereka merasa bangga dengan mendapat markah tinggi hasil daripada soalan yang mereka sudah pun jawab dalam buku atau dapat markah tinggi kerana soalan bocor atau mendapat markah tinggi kerana mereka menghafal jawapan daripada soalan lepas /buku. Aku mahu mengubah senario itu. Aku benar-benar ingin menguji kemampuan mereka, kebolehan berbahasa mereka, keupayaan mereka dalam BM supaya mereka gemilang di kemudian hari dengan standart yang tinggi. Itu impianku.

Impian yang kuayam sendiri di dalam hati. Tidak kuhebahkan kepada mereka cita-cita itu. Mereka tentu merasakan aku 'kejam' kerana memberi soalan yang sukar kepada mereka. Tidak mengapa kerana apabila tiba waktunya mereka akan faham mengapa aku bertindak sedemikian. Ketika mereka mula faham nanti, aku mungkin sudah tiada di bumi wakafan Matri. Namun, biarlah aku meninggalkan memori pahit buat mereka yang tidak dapat skor kertas BM 1. Kenangan pahit itu selalunya bertukar indah bila statusnya bertukar menjadi memori. Peristiwa pahit selalunya menjadi suatu yang indah untuk dikenang. Kenanglah Cg. dalam sukarnya kalian menjawab soalan peperiksaan !

'Kesian depa'. Agenda yang terselit di hatiku tidak menepis rasa kasihanku kepada mereka yang memperoleh markah sedikit. Kurang daripada 25/40. Tak mengapa. Aku akan cuba bersifat semurah hati mungkin semasa menanda kertas BM 2 nanti. ' Ah, tak sabar pula nak ke sekolah esok dan melihat karangan mereka'..
Entah mengapa aku sangat suka membaca tulisan mereka, karangan mereka, bait-bait tulisan mereka dan mainan bahasa mereka. Entah bagaimana, apa yang terlakar di kertas putih bergaris hitam itu sangat menarik hatiku. Aku boleh duduk diam tanpa jemu membaca apa yang mereka tuliskan. Aku berdoa esok Allah akan membantuku dalam memberi markah kepada mereka sebaiknya. Insya Allah.

Pelajarku, usah dirisau akan hal yang sudah berlalu kerana kita tidak akan dapat mengulang kembali perkara yang sudah terjadi. Markah sedikit bukan ukuran kepandaian seseorang kerana usaha dan kesungguhan kamu yang Allah nilai. Kamu masih punya banyak waktu untuk mengkoreksi diri..Doa Cg. tetap bersama kalian semua...

No comments:

Post a Comment