Wednesday, September 29, 2010

Terguris...

Hari ini masuk hari yang ke-80 aku menjadi guru kepada para pelajar kelas 2 Ali,2 Bilal,2 Zaid,2 Asma dan 2 Maryam. Aku bercadang untuk memberi penerangan kepada pelajar tentang gambaran umum tatabahasa BM yang harus dikuasai oleh mereka. Kata Kerja. Ya. Tajuk itu yang akan aku ulang dan terangkan kepada para pelajar yang dikasihi dengan harapan ada sedikit penambahan terhadap kefahaman mereka dalam bab ini.

Sebagai persediaan, aku sudah siap melakar peta minda dan peta konsep dalam 'Microsoft Power Point' dan dengan rendah hati aku meminjam LCD Projecter daripada abah serta speaker miliknya. Aku segan sebenarnya mahu kerap meminjam harta kesayangan abah itu, tetapi terpaksaku gagahkan hati demi anak muridku.

Rabu. Jam 9.10am aku melangkah bersemangat ke kelas. Sepanjang di koridor aku melihat beberapa orang pelajar 2 Ali keluar daripada kelas. Pelbagai alasan diberikan seperti ingin ke klinik, ingin mem'binding' folio dan sebagainya. Tidak kupedulikan dan masuk ke kelas. Separuh daripada kelas ini kosong. Aku sudah memasang tekad untuk terus mengajar walaupun hanya segelintir sahaja pelajar yang ingin memberikan perhatian. Dengan bantuan beberapa orang pelajar yang baik, aku memasang segala peralatan yang diperlukan.

Pengajaran bermula. Kelas sedikit bising dan kecoh dengan pelajar yang keluar masuk tanpa mempedulikan kehadiranku di hadapan kelas. Sesekali aku menegur mereka namun ia ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan sahaja. Pada masa yang sama, masih ramai pelajar yang memberikan perhatian terhadap tajuk yang diajar. Itu sudah cukup melegakan hatiku walaupun aku risau pelajar yang sering bermain-main di dalam kelas. Aku bimbang hatiku terguris dan mereka mendapat balasan kerana aku adalah guru mereka.Aku tabahkan hati meneruskan pengajaran.

Gembira dengan sambutan pelajar kerana hampir selesai pengajaranku. Sedikit terganggu dengan pelajar daripada kelas lain yang bergayut di tingkap. Paling tidak sopan ialah mereka masuk ke dalam kelas dan bersembang di belakang kelas. Suasana ini cukup mengguris hatiku. Aku seorang guru. Walaupun aku guru muda yang kurang dengan pengalaman, aku tetap seorang guru. Aku telah mencuba sedaya upaya menjadi guru yang baik kepada mereka.Namun mereka sedikit tiada pedulikan aku yang bertungkus lumus di dalam kelas ini. Aku menegur dan mereka menghilangkan diri.

" ***** !, *****! balik kelas kamu" aku meninggikan suara.

" Kamu ni, bila cikgu mengajar kelas kamu, kamu tak mahu dengar, sekarang cikgu mengajar kelas lain, kamu bergayut pula di tingkap" aku menegur yang berada di tingkap.

" Cikgu, kenapa panggil dia Ashraf, panggil dia Acap je laa"..ada suara menyampuk cuba berlelucon.

Aku kembali fokus kepada pelajar yang INGIN belajar. Kemudian bermulalah episod permainan dalam P&Pku. Aku merancang untuk mengadakan aktiviti 'music box'..lalu memulakan nasyid. Permainan bermula!. Sesiapa yang terkena perlu menjawab soalan yang dikemukakan. Permainan berjalan dengan lancar pada mulanya walaupun ada pelajar yang mempermainkan aku dengan menganggu permainan bahasa itu. Pelajar yang boleh menjawab soalan dengan betul akan diberi saguhati.

Pelajar mula meminta pelbagai nasyid pilihan mereka. Aku turutkan yang mana ada dalam playlist. Suasana dalam kelas semakin kecoh apabila tiba kepada soalan-soalan yang tidak dapat dijawab oleh ramai pelajar lain. Pelajar kelas lain bercampur aduk di dalam kelas. Aku tidak menang tangan untuk mengatasi masalah itu. Terasa benar kegagalan aku sebagai seorang guru. Aku masih bersabar walaupun hatiku sedikit tercalar melihat senario itu. Terdapat pelajar yang berdiri dan menari mengikut rentak sangat menyakitkan mataku. Aku berdoa agar Allah memberi kekuatan kepadaku. Tiba soalan yang terakhir, keadaan semakin kecoh dan menyerabutkan. Aku merenung beberapa pelajar yang menimbulkan keadaan kurang selesa di dalam kelas. Aduhai pelajar, aku kasihkan kalian. Kenapa kamu begini,pelajar?

Daripada giat melayan kerenah mereka aku mengunci mulut. Ini adalah masalah terbesarku. Saat rasa marah menusuk di kalbu, aku akan mendiamkan diriku. Andai aku berkata-kata pasti gerimis akan menuruni tabir pipiku. Itu adalah aku. Setelah lama aku diam sambil menutup LCD serta shut down note-bookku, aku tidak memandang sesiapa pun. Aku memujuk hatiku yang terguris.

'Ingat Nawal tujuan asal mengajar sini, aku nak tolong dan bantu adik-adik ni..'
' Allah tak nilai hasil nawal...Allah nilai usaha...'
' Sebagai guru, aku tak nak jadi seorang yang cengeng'

Macam-macam rasa bercampur perisa. Kata hati terus memberi semangat kepada diri. Ada seorang pelajar yang baik dan rajin menghampiriku.

 " Cikgu, saya minta maaf".

" Ahmad, tak perlu minta maaf. Ahmad tak buat salah pun".aku membalas perlahan.

Beberapa orang pelajar lain membantuku mengemas peralatan. Terasa sedikit kecewa kerana apa yang dirancang tidak berjalan dengan baik. Allah Maha Mengetahui. Mungkin ini tamrin untukku. Sebahagian besar pelajar sudah meninggalkan kelas menuju ke kantin sekolah. Aku masih di dalam kelas.Seorang pelajar bertanya,

 " cikgu marah kami?"

" tak Mohd, kecil hati" balasku tanpa dirancang dan dia tersenyum. Yang pasti kecil hati itu bukan untuk semua kerana masih ada pelajarku yang baik mendengar kata dan tidak membuat kacau. Salah seorang pelajar yang 'banyak' mulutnya menghampiriku.

" Cikgu, saya minta maaf kalau saya sakitkan hati cikgu. Saya minta maaf. takut tak berkat pulak Minta maaf cikgu tau" aku masih diam. Dia berlalu. Hatiku menutur sendiri,

'Adik-adik pelajar yang dikasihi, bukan kata-kata maaf yang kudamba, hanya secebis perhatian dan tumpuan di dalam kelas yang kuharapkan, bukan hadiah yang kuminta, suasana kelas yang kondusif untuk belajar yang kurindukan..bukan kata-kata manis ibarat menanam tebu di bibir yang kuharap, namun usaha dan ikhtiar kalian dalam mencari ilmu yang kutunggukan...'

Aku mendekati beberapa pelajar untuk bertanya tentang keperluan mereka terhadap subjekku ini. Aku berkongsi pengalaman dengan mereka tentang diriku dengan pelajar di sekolah lain. Sedikit yang kuselitkan adalah berkenaan dengan 'hormat pada guru'. Hati yang terguris sedikit terubat melihat wajah-wajah polos anak muridku yang jujur mendengar nasihatku. Aku meninggalkan kelas mereka dengan azam yang aku akan mencuba juga untuk mengajar mereka walaupun mereka tidak menyukaiku sekali pun.

Ada seorang sahabat lama bertanya. " Best tak ngaja?"

Kataku.

 mencabar tetapi tetap seronok
 menyakitkan tetapi tetap bahagia
 terguris tetapi terus berusaha
 tertekan tetapi sentiasa gigih

Moga Allah terus kuatkan akudan rakan-rakan guru yang lain. Ameen.

Aduhai pelajar, andai dapat kau tahu..semangat yg ada dalam hati seorang guru....

No comments:

Post a Comment