Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah hampir 16 minggu Cg. mengajar di Matri. Pelbagai pengalaman dapat ditimba dari semasa ke semasa sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Cg juga buat pertama kalinya mengira jumlah hari, jam dan bilangan kelas yang Cg. masuk untuk meyakinkan diri Cg yang agak lama juga Cg berada bersama-sama dengan para pelajar.
Cg.bersama dengan kelas 2 Maryam selama 106 hari dengan 23 kali kelas yang bersamaan dengan 34.5 jam manakala Cg bersama dengan 2 Asma selama 107 hari iaitu bersamaan dengan 25 kali kelas merangkap 37.5 jam. Kelas 2 Bilal pula selama 107 hari, 38 kali kelas dan 38 jam dan 2 Ali selama 108 hari, 27 kali bilangan kelas dan 40.5 jam.
Apabila dikira dan diukur dengan angka sebegini, terasa lama Cg. bersama kalian sedangkan Cg. terasa baru sahaja mengajar kalian. Agaklah sedih kerana masa tak mengizinkan Cg. untuk terus mengajar, meladeni karenah kalian dan melihat kalian membesar dan berubah menjadi lebih baik dan matang dari hari ke hari.
Tugasan terakhir Cg. untuk kalian adalah untuk menilai prestasi diri Cg. yang juga memberi ruang dan peluang untuk para pelajar mengkritik, menasihati, menegur, berkongsi apa yang ada dalam hati pelajar dengan Cg. selama Cg. mengajar pelajar BM. Alhamdulillah terdapat pelbagai komen dan nasihat yang pelajar tulis untuk Cg dan Cg. menerima teguran pelajar dengan hati yang terbuka. Seusai membaca apa yang tertulis di kertas itu, Cg. akan muhasabah diri Cg. semula. Menilai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri Cg. dan berazam untuk menjadi guru yang lebih baik pada masa akan datang.
Namun, dalam pada itu Cg. terkesima sebentar dengan satu penyataan yang menyebabkan Cg. agak 'down' seketika,..." saya tak suka cara Cg. mengajar". Barisan frasa ini menyentapkan Cg. buat seketika kerana Cg. berasa sedih ada juga antara pelajar Cg. yang tidak dapat menerima cara Cg. menyampaikan maklumat dan ilmu. Ada juga antara kalian yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pengajaran Cg. Amatlah sedih kerana Cg. sangat berusaha untuk memastikan semua pelajar memahami apa yang Cg. ajarkan. Maafkan Cg wahai pelajar kerana tidak dapat memberikan yang terbaik untuk kamu.
Cg. menerima kritikan pelajar itu dengan hati yang terbuka dan kini Cg. sedar bahawa lebih ramai pelajar Cg. yang suka, dapat menerima, dapat menyesuaikan diri dengan pengajaran Cg,..maka untuk apa Cg. berduka dengan segaris penyataan itu. Cg. ambil kritikan itu dengan positif dan insya Allah pada masa akan datang, Cg akan memberi pelajar membuat penilaian di pertengahan kelas supaya Cg dapat mengetahui andai ada yang tak suka dengan Cg, Cg boleh tukar aktiviti khas untuk mereka yang tak suka pada aktiviti yang Cg. lakukan.
Terima Kasih kepada semua 156 orang pelajar tingkatan dua yang telah sudi menulis sesuatu untuk Cg. ingati dan kenangkan tentang diri kalian. Hari ini tertulis sebagai hari yang agak 'touching' bagi Cg. kerana hari ni last Cg. masuk mengajar kalian. Esok kamu akan menghadapi exam dan lepas exam cuti sekolah. Tahun depan Cg. pasti akan bertugas di tempat lain yang tidak diketahui statusnya sekarang. Maka, selepas ini tiada lagi peluang bagi Cg. untuk bertemu mata dengan pelajar di dalam kelas. Tiada lagi peluang untuk mengajar kalian yang nakal, menjawab soalan-soalan pelajar, dan berkongsi apa yang Cg. ada dengan pelajar. Memang kita boleh berjumpa di luar, di alam maya dsb namun semua itu tetap tidak sama dengan Cg. melihat karakter kamu di dalam kelas.
Pelajar, andai kamu tahu apa yang ada dalam hati Cg. Setiap daripada kamu ada tempatnya yang tersendiri dalam hati Cg. Cg. sangat kasih pada pelajar. Cg. rasa sangat dekat dengan kamu. Cg. boleh memahami kamu. Ingatlah pelajar, bahawa tiada sekelumit rasa pun yang membuatkan Cg. memilih antara kamu. Teringat kata-kata seorang Cikgu, " Para pelajar selalu memilih guru yang mana dia suka, dia sayang, kalau dia tak suka, dia tak buat kerja,so kita Cg pun boleh pilih laa anak murid mana ja yang kita suka, kita ajar...." Guru ini mungkin bergurau ataupun sekadar melepaskan rasa dek sikap pelajar yang gemar memilih guru mengikut cita rasa mereka. Apabila seseorang guru itu dilihat lebih akrab dengan mana-mana pelajar, dikatakan guru itu pilih kasih pula... Begitulah senario berat sebelah yang berlaku dalam hubungan pelajar-guru di sekolah..
Cg ingin memaklumkan kepada pelajar bahawa kamu semua sama di hati Cg. Tiada pilih kasih atau pilih sayang atau pilih apa2 sekalipun. Andai kamu merapati Cg., berkongsi masalah dengan Cg., minta tlg Cg., tentu Cg. akan membantu kamu, melayani kamu dsb. Bagi pelajar yang sering mengelak daripada Cg., Cg.perasan tetapi Cg. hanya buat2 tak tahu kerana Cg. merasakan kamu tak selesa untuk bercerita dengan Cg. I'm okay wif that.
Kesimpulanya di sini, pelajar 2 Ali, 2 Bilal, 2 Asma, 2 Maryam dan 2 Zaid. Walau bagaimana nakal pun kamu, petah bercakapnya kamu, bisingnya kamu, tidak hormat Cg.nya kamu, tidak buat homework, tidak suka pada Cg., buat hal sendiri, tidak pedulikan Cg,... Cg. telah berusaha untuk memberikan yang terbaik sehabis boleh kepada kamu kerana Cg. sayang kamu. Cg. marah kerana Cg. sayang, Cg. meleter kerana Cg. sayang, Cg. nasihat kerana Cg. kasih dan Cg. buat semua atas dasar cinta Cg. kepada pelajar dan bidang ini. I'm in love wif this carier... itu yang membuatkan Cg. membutakan mata, memekakkan telinga dan membentengkan hati daripada segala apa yang pelajar buat yang menyakitkan hati. Oleh yang demikian, normallah bagi Cg. untuk meletakkan harapan agar dalam hati pelajar ada sedikit rasa untuk 'menghargai' apa yang Cg. buat untuk kamu.
Macam mana nak tahu kamu hargai atau tidak? Itu boleh dilihat menerusi kesungguhan, semangat, kerajinan dan keikhlasan kamu menyiapkan tugasan, buat latihan, kerap bertanya dan akhir sekali membuat sehabis baik dalam peperiksaan. Itu sahaja sudah cukup memadai dan membahagiakan hati seorang guru. Guru yang sentiasa mengajar tanpa erti lelah dan jemu. Guru novis yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk pelajar. Guru muda yang sentiasa cuba menyesuaikan diri dengan pelajar yang lebih muda. Guru baru yang sentiasa memikirkan idea-idea baru untuk menarik minat para pelajar dan guru yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan, namun masih memperbaiki diri untuk sentiasa MEMBERI kepada para pelajarnya...
Panjang pula coretan Cg. kali ini. Masih banyak yang tersimpan dalam lipatan hati ini. Terlalu sukar untuk diluahkan semuanya. Apa yang pasti kamu semua tersimpan kemas dalam hati Cg. Insya Allah buat selama-lamanya. Pada pelajar Cg. yang baca, Cg. nak bagitahu suatu kata-kata yang Cg. tak boleh bagitahu secara berhadapan dengan kamu...
" ___nama kamu _____, Cikgu Sayang kamu !"
Wallahualam.